Perutusan Yang Berhormat, Pengarah Yayasan Sabah.

Sebagai pengarah Yayasan Sabah, saya amat berbesar hati untuk menyatakan bahawa organisasi ini telah menepati visi dan misinya untuk memanfaatkan pendidikan, sebagai platform terbaik untuk membangunkan bakat insan untuk kemajuan negeri Sabah. Rakyat Sabah mampu memperkasakan diri untuk memperbaiki kehidupan melalui pendidikan yang berkualiti seperti di UCSF.

Saya berharap agar kepimpinan di UCSF kini akan mewujudkan platform untuk alumni agar anda boleh terlibat rapat dengan semua perkembangan di kampus. Aspirasi saya ialah Universiti ini bukan sahaja menyediakan anda pendidikan bertaraf antarabangsa tetapi juga menyediakan kerjaya untuk anda, Insha-Allah. Harapan saya yang lain ialah UCSF akan menjadi lebih maju dan dikenali sehinggakan pelajar antarabangsa akan datang ke sini untuk belajar dan merasai pengalaman Malaysia di samping mendapatkan ijazah profesional mereka.

Yayasan Sabah bersama UCSF akan terus memperkasa bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan membuat penyelidikan bersama agensi-agensi kerajaan negeri di beberapa pusat seperti Maliau Basin, Lembah Danum, Imbak Canyon, Silam Coast, dan Taliwas, yang menjurus kepada kepakaran akademik mendepani isu-isu kelestarian dan alam sekitar, ekonomi hijau, industri kreatif, selain mengadakan bengkel bersiri dan seminar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Harapan saya adalah para graduan akan mampu menyahut cabaran, berani mengambil risiko, mampu mengurus perbezaan, cekap membuat pilihan, memiliki ketenangan dalaman, berdaya saing, tidak mementingkan diri, bertindak dengan hikmah bukan emosi dan berperanan di dalam komuniti.

Tahniah sekali lagi kepada semua, dan selamat maju jaya untuk pengembaraan seterusnya!
Wabillahi taufiq walhidayah, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Berhormat  Dato’ Sri Haji Gulamhaidar @ Yusof Bin Khan Bahadar, JP,
Pengarah Yayasan Sabah.

 

Translate »
× How can I help you?